Pengamal Perubatan Islam Darussyifa’ di Bangi, Selangor, Mohd Fauzi Mustaffa, berkata saka adalah antara perbuatan ‘ilmu hitam’ yang sudah lama wujud dan diamalkan individu tertentu di dunia ini termasuk di Malaysia.
Beliau berkata, kebiasaannya manusia terbabit menggunakan bantuan jin untuk pelbagai kepentingan seperti ingin menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan harta; menjadi kuat, berharta, disayangi atau digeruni ramai pihak selain mahukan makhluk ghaib itu membantunya bekerja di ladang atau lautan.
“Pada mulanya memang saka ini kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya contohnya untuk melindungi diri, keluarga serta harta benda dan sebagainya tetapi itu semua hanyalah tipu helah saka bagi menyesatkan manusia.
“Pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul pada masa panjang dan kemuncaknya menyebabkan manusia itu melakukan dosa besar iaitu syirik kepada Allah SWT,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, hukum mengguna atau mewarisi saka adalah haram dalam Islam seperti firman-Nya: “Dan hari (kiamat) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): ‘Wahai golongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu banyak (menyesatkan) manusia’, lalu berkatalah sahabat mereka dari golongan manusia: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian kami sudah mendapat kesenangan dari sebahagian yang lain (jin) dan kami sampai kepada masa yang Engkau tentukan bagi kami (hari pengadilan)’.
“Allah berfirman: ‘Neraka itulah tempat diam kamu sedang kamu kekal didalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)’. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui,” (surah al-An’aam: 128).
Sehubungan itu, ahli keluarga lain atau sesiapa saja dilarang menerima warisan saka daripada pemilik asal dan bagi mereka yang sudah menerima, perlu diusaha untuk memutuskan hubungan dengan makhluk terbabit.
Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah, Dr Jahid Sidek, berkata bagi mengubati manusia yang diganggu saka, rawatan perlu dilakukan daripada ‘atas ke bawah’ iaitu menyembuhkan datuk atau bapa terlebih dulu kerana tanpa berbuat demikian, gangguan itu berterusan kerana puncanya berada ‘di atas’.
“Contohnya seorang pesakit saya iaitu kanak-kanak mengalami sakit pelik dan gatal seluruh badan; apabila berjumpa dengan doktor dan diberi ubat, gatal itu semakin merebak. Apabila dibawa berjumpa saya, saya dapati jin yang menyebabkan sakit kepada si anak berada di tubuh bapanya.
“Walaupun yang sakit adalah anak dan bapa pula sihat seperti biasa, rawatan perlu dilakukan terhadap bapa dan selepas dirawat, alhamdulillah si anak turut sembuh,” katanya yang menjalankan rawatan di pusat perubatannya di Batu 7, Kuang, Selangor.
Beliau yang juga bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, berkata selain memberi kelebihan kepada tuannya, saka juga menjaga harta dan barang pemiliknya menyebabkan gangguan boleh berlaku jika barang pemilik saka dimiliki orang lain.
“Itulah sebabnya jika ingin mengubati kes gangguan saka, barang pemilik saka perlu dibuang terlebih dulu; kadang-kadang timbul masalah apabila barang itu dijual kepada orang lain yang tidak mengetahui menyebabkan orang itu diganggu saka berkenaan,” katanya.
Jin dan syaitan dijadikan daripada api (Al-Hijr,27) maka tubuh dan jasadnya serupa angin.Bagaimana
kita tidak boleh melihat angin maka begitulah kita tidak boleh melihat jin atau syaitan.
Bagaimana angin boleh meresap masuk ke dalam tubuh manusia menerusi mana-mana rongga tubuh
badan seperti mulut,hidung,liang bulu roma, maka begitulah jin dan syaitan boleh masuk ke dalam
tubuh manusia.Rasulullah S.A.W pernah menyebutkan bahawa syaitan itu berlari dalam pembuluh
darah anak Adam.
SAKA boleh tempias kepada sesiapa saja walaupun tiada pertalian darah.
Menurut Prof.Dr. Jahid Sidek, seorang Pendakwah dan Pengamal Perubatan Islam;
saka sering dikaitkan dengan ilmu dan amalan salah yang melibatkan penggunaan jin
atau syaitan yang diwarisi oleh seseorang daripada usulnya,ibu bapa atau datuk nenek ke atas.
Beliau memberi contoh,saka boleh diwarisi oleh seseorang daripada sahabat karibnya,isteri
mewaris daripada suami atau sebaliknya,pekerja daripada majikannya atau sebaliknya ,seorang
pelajar dari pensyarahnya atau sebaliknya,begitu juga doktor daripada jururawatnta atau sebaliknya.
Seorang jiran mungkin mendapat saka dari jirannya (yang selalu bertandang) dan seorang yang selalu
berjumpa bomoh atau pawang juga boleh mewarisi saka dari bomoh tersebut.
Malah menurutnya lagi,satu fakta yang mungkin memeranjatkan bagi kebanyakan orang, cara
seseorang itu mendapat saka tidak semestinya melalui ilmu dan amalan salah yang melibatkan
jin atau syaitan tadi.
Saka secara lansung,boleh terjadi apabila jin atau syaitan itu masuk sendiri ke tubuh manusia
tanpa disedari oleh tuan punya tubuh lalu menghuni dan beranak pinak dalam tubuh tersebut
malah boleh berpindah kepada sesiapa yang berdamping dengan orang tersebut.Contohnya boleh
berlaku perkara begini apabila terjatuh tiba-tiba atau kencing ditempat-tempat tertentu.
Jin juga akan masuk ke dalam tubuh seseorang bukan kerana marah ,tetapi kerana suka iaitu
"rasa selesa, dapat makan minum dan daapat tempat tinggal".
Saka juga boleh berlaku melalui sihir dan amalan "memagar rumah" .
Menurut Prof.Dr Jahid,saka boleh berpindah melalui pelbagai cara.Antaranya melalui sentuhan
tangan sewaktu bersalam ,melalui pandangan mata, melalui barang milik peribadi, melalui rumah
kediaman dan sebagainya.
Akibat saka dari aspek kesihatan; saka menyebabkan kesihatan sering terganggu.Gangguan
kesihatan ini tidak putus-putus.
Akibat saka dari sudut aspek sosial pula, seseorang yang mendapat saka akan menghadapi
masaalah perhubungan, saka menyebabkan kacau bilau termasuk dalam keluarga.
Saka dari aspek agama; menyebabkan rosak akidah andainya disengajakan, malah turut
merosakkan syariat.Misalnya rasa berat untuk solat, tak boleh berzikir, tak boleh baca Quran.
Bila berzikir atau baca Quran, kepala rasa pening dan badan rasa sakit-sakit.Ini semua gangguan saka.
TANDA-TANDA SAKA
Ada beberapa tanda yang boleh dilihat atau dirasai bagi mengesahkan adanya saka :
a. Ada persamaan fizikal dan sifat-sifat antara seorang yang mewariskan saka dengan
orang yang menerimanya.
b. Ada persamaan dalam masaalah kesihatan.
c. Ada persamaan suhu badan antara orang yang mewariskan saka dengan orang yang
menerimanya.
d. Orang yang mewarisi saka menghadapi kesukaran jodoh.
e. Susah mendapat rezeki juga antara tanda adanya saka.
f. Seorang anak yang menerima saka dari ibu bapanya paling sukar untuk serasi dengan
ibu atau bapanya itu.
g. Suasana rumah yang tidak harmoni.
h. Menghadapi kesukaran sewaktu sakaratul maut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan